Berjalan-jalan memang seronok, tapi trafik yang sesak membuatkan keadaan menjadi teruk. Lebih-lebih lagi pada musim cuti. Memang keadaan trafik boleh buat kita sakit hati. Pada tahun 2022, Malay Mail telah melaporkan tentang satu keluarga yang tersekat dalam kesesakan lalu lintas selama 25 jam sewaktu dalam perjalanan dari Perak ke Shah Alam. Bagi mengelakkan perkara yang sama berulang, maka ada yang membuat keputusan untuk mengikut jalan lama.
Walaupun kurang sesak, melalui jalan kampung ada cabaran tersendiri. Contohnya macam jalan kecil dan berliku, kekurangan tempat rehat, dan rangkaian telefon yang lemah. Pada malam hari, keadaan jalan raya boleh jadi gelap gelita kerana kekurangan lampu jalan dan kenderaan.
Sekarang, bayangkan situasi dimana anda menyelusuri jalan kampung yang kosong dan lancar untuk elak kesesakan lalu lintas. Tiba-tiba, lampu amaran menyala, dan kenderaan menjadi perlahan sebelum terhenti sepenuhnya. Anda cuba hubungi keluarga, tapi rangkaian telefon langsung tiada. Kemajuan teknologi yang telah diteraju selama berabad lamanya kini menjadi sia-sia. Hari semakin gelap, jalan semakin sunyi, cemas menyelubungi, dan air mata jatuh ke pipi. Jiwa menjerit ‘Nak buat apa ni?’.
1. Menangis sepuasnya lalu bertenang
Terkandas di jalan yang sunyi memang menakutkan. Rasa takut dan cemas pasti memuncak. Tapi tak mengapa. Itu biasa. Kerana kita manusia. Ambil masa beberapa minit (atau lebih) untuk zahirkan perasaan anda. Tapi jangan buat keputusan melulu. Jangan baling telefon, tumbuk kereta, atau sakitkan diri sendiri. Menjerit, menangis, dan kejilah sebanyak mungkin sehingga anda berpuas hati.
Apabila sudah menangis sepuas hati, tutup mata dan tarik nafas sedalamnya. Kesat air mata, minum sedikit air, kosongkan minda, lalu ikut langkah seterusnya.
2. Lakukan pemeriksaan sendiri
Cari punca masalah. Cara paling mudah adalah dengan menghidupkan kenderaan dan lihat lampu amaran di papan pemuka. Setiap lampu amaran menunjukkan masalah berbeza seperti minyak hitam, suhu, brek, dan minyak petrol atau diesel.
Jika anda tidak dapat mengenal pasti masalah menggunakan lampu amaran papan pemuka, maka anda boleh lihat keadaan kenderaan. Ada asap yang keluar dari bonet kenderaan atau tidak? Ada bau yang aneh? Ada bunyi yang pelik apabila anda hidupkan kenderaan? Meklumat tersebut sangat berguna sewaktu anda ingin dapatkan bantuan.
3. Jangan keluar pada waktu malam
Walaupun anda seorang yang berani, berkeyakinan tinggi, dan memiliki lampu picit yang paling terang di dunia, tolong jangan keluar dari kenderaan anda pada waktu malam. Ini kerana kegelapan boleh membawa 1001 ancaman, baik dari manusia ataupun haiwan. Anda juga boleh sesat kerana tidak nampak jalan. Oleh itu, kunci dan tunggu dalam kenderaan anda sehingga mentari menjelma. Jangan bahayakan diri dengan berjalan dalam kegelapan.
4. Hantar SMS
Jika anda di kawasan terpencil, mungkin telefon anda tidak mempunyai sambungan internet. Tapi jaringan telefon biasa (tanpa internet) mungkin ada. Maka dengan itu, anda boleh cuba hantar SMS kepada keluarga dan rakan terdekat. Masukkan maklumat penting seperti nama jalan, jenis kereta, warna kereta, nombor pendaftaran kenderaan, dan mercu tanda untuk memudahkan bantuan. SMS tersebut mungkin tidak akan dihantar serta merta. Tetapi, mereka akan menerima amaran kecemasan anda apabila telefon anda mempunyai sambungan, walaupun untuk beberapa saat.
5. Guna bateri telefon dengan cermat
Tetapkan telefon anda dalam keadaan jimat-tenaga, walaupun anda ada pengecas mudah alih. Anda perlu sentiasa bersedia kerana apa saja boleh berlaku. Telefon anda mungkin akan ada jaringan telefon secara tiba-tiba, tetapi bateri pula tak ada. Jika ini berlaku, ia akan menjadi ralat paling besar dalam misi menyelamatkan anda.
6. Berjalan, tapi berhati-hati
Anda boleh pergi berjalan cari pertolongan, tapi anda perlu berhati-hati. Ambil gambar mercu tanda penting agar anda tidak sesat. Kalau boleh, elakkan daripada memasuki rumah orang yang tidak dikenali untuk mohon bantuan. Ini kerana kita tidak akan pernah tahu niat mereka yang sebenar. Mohon bantuan di tempat awam seperti tempat keagamaan, kedai, atau warung. Apabila anda sudah jumpa tempat yang betul-betul selamat, sila cas telefon anda dan dapatkan bantuan secepat mungkin. Pastikan anda jumpa tempat yang selamat sebelum matahari terbenam.
Jika anda hanya boleh dapat sambungan telefon asas, maka buatlah panggilan ke talian 999 dan ceritakan apa yang berlaku. Nyatakan lokasi, nombor telefon, dan tunggu. Pada masa yang sama, anda juga boleh menghubungi ahli keluarga dan kawan.
Tetapi, jika telefon anda memiliki jaringan internet yang kuat, anda boleh dapatkan bantuan menggunakan fungsi bantuan auto 24/7 di aplikasi Setel. Ingat tak pemeriksaan yang anda lakukan awal-awal tadi? Masukkan maklumat tersebut dalam aplikasi agar anda terima bantuan yang tepat. Pin lokasi terkini anda dan apabila tukang baiki kenderaaan tiba, bawa mereka ke lokasi kenderaan anda. Dengan maklumat yang tepat, adalah tidak mustahil untuk mereka baiki kenderaan anda dengan segera. Jika kenderaaan anda tidak dapat dibaiki, anda boleh gunakan fungsi bantuan auto 24/7 untuk panggil lori tunda untuk ke bengkel terdekat.
Menjaga kenderaan adalah penting, terutamanya apabila anda hendak berjalan jauh. Bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini, pastikan anda periksa kenderaan anda sebelum memulakan perjalanan. Tetapi, jika anda sudah lakukan pemeriksaan dan kecelakaan tetap menimpa, sila utamakan keselamatan diri kerana nyawa anda tiada ganti. Dan jangan risau kerana dalam setiap kesusahan, pasti akan ada jalan keluar.
CARs AEON Mall KB